Print

SUKAN : RM1.5 Juta Insentif Buat Atlet Sukma Sarawak

Written by Mohd Syazni Zainudin Ditulis pada .

Kerajaan negeri terus mengiktiraf kecemerlangan atlet Terengganu apabila memperuntukkan lebih RM1.5 juta sebagai insentif kemenangan di Sukan Malaysia(Sukma) pada edisi ke-18 Sarawak baru-baru ini.

Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, walaupun tidak berjaya menjadi juara keseluruhan dalam temasya tersebut dan sekadar menduduki tempat ketiga, kem Terengganu masih mampu mengatasi Wilayah Persekutuan yang menjadi juara Sukan itu pada 2014.

Tambahnya, selain dari insentif yang telah diberikan pada majlis itu, Terengganu turut memperuntukkan insentif segera kepada pemenang pingat pada temasya tersebut.

“Insentif segera kepada pemenang pingat emas baru-baru ini adalah yang tertinggi pernah diberikan kepada atlet. Selain RM300 yang diberikan oleh Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), pihak pengurusan pasukan telah menambah RM700 menjadikannya RM1,000 untuk setiap pemenang pingat emas.

“Seperti yang dijanjikan sebelum ini, kerajaan negeri bersetuju untuk mengekalkan insentif kemenangan seperti Sukma lepas walaupun tidak bergelar juara iaitu RM5,000 kepada pemenang pingat emas, RM3,000 (perak) dan RM2,000 (gangsa).

“Di samping atlet-atlet terbabit, jurulatih, pengurus pasukan serta persatuan sukan yang diwakili oleh atlet tersebut juga turut menerima insentif yang sama,” katanya ketika berucap pada majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Sukma ke-18 di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, malam tadi.

Turut hadir, Speaker DUN, Dato’ Mohd Zubir Embong; Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato’ Rozi Mamat dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ibni Amin Busu.

Dalam pada itu, Ahmad Razif dalam ucapannya turut menyarankan MSNT dan serta Rozi mempercepatkan proses penyediaan atlet Sukma 2018 yang akan berlangsung di Perak.

“Saya minta kepada pihak MSNT dan Dato’ Rozi Mamat selaku Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia melakukan pelancaran atlet Sukma 2018 dan serahkan pada jabatan angkat sebagai persediaan lebih awal.

“Walaupun keadaan ekonomi tidak begitu memberangsangkan, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dalam bidang sukan dan pendidikan,” katanya.

Pada temasya Sukma edisi ke-18 baru-baru ini, Terengganu berada di tangga ketiga dengan memungut 47 emas, 42 perak dan 44 gangsa manakala Selangor di kedudukan pertama dan tuan rumah, Sarawak tempat kedua.

Sukan berbasikal menjadi penyumbang emas tertinggi kepada kontinjen Terengganu dengan kutipan 14 emas, 4 perak dan 4 gangsa sekaligus menyamai rekod kutipan emas kanu pada Sukma 2014 lalu.

 
Print

RM2.4 Bilion Bajet Terengganu 2015

Written by adminukom Ditulis pada .

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman hari ini membentangkan Bajet 2015 bagi Negeri Terengganu berjumlah RM2.4 bilion dengan tema ‘Melestarikan Budi, Memacu Transformasi’.

Menurut beliau, Bajet 2015 menekankan pendekatan inklusif dengan menerima pandangan rakyat melalui Majlis-Majlis Perundingan Rakyat (MPR) di setiap daerah serta cadangan yang dikemukakan secara onlinemelalui Minggu Cadangan Bajet.

Ketika berucap membentangkannya dalam sidang Dewan Undangan Negeri, beliau memberitahu, kerajaan akan meneruskan dasar bajet lebihan atau surplus dengan perbelanjaan RM2.37 bilion daripada RM2.4 bilion hasil yang bakal diperolehi.

“Dari segi pungutan hasil bagi tahun depan, kerajaan negeri menganggarkan memperoleh sebanyak RM2.4 bilion berbanding RM2.2 bilion pada 2014,” ujarnya.

Menurut Ahmad Razif, anggaran itu meningkat 9 peratus iaitu RM200 juta berbanding anggaran hasil pada 2014 dan daripada jumlah itu, 88.6 peratus merupakan unjuran daripada sumber kerajaan pusat melaui Dana Khas Kerajaan Persekutun manakala selebihnya 11.4 peratus daripada sumber negeri.

Menteri Besar menegaskan, kerajaan negeri tidak berhasrat untuk terlibat dengan polemik sama ada sumber pendapatan Terengganu adalah royalti ataupun bukan royalti.

“Apa yang penting ialah kerajaan negeri tetap terima hasil yang disalurkan oleh kerajaan persekutuan secara konsisten setiap tahun,” katanya.

Menurutnya, Bajet 2015 memberi fokus kepada empat strategi teras iaitu memperkasa sistem penyampaian kerajaan, memantapkan pembangunan modal insan, meningkatkan kualiti hidup rakyat dan merancakkan ekonomi negeri.

“Ia dipacu bersama lapan prinsip Transformasi Terengganu Baharu (TTB) iaitu inklusif, masjid dan surau sebagai sumber penyatuan, keluarga bahagia rakyat sejahtera, integriti, mesra tapi tegas, displin kerja yang tinggi, seruan perpaduan dan memperkasa pendidikan,” katanya.

Print

Sidang DUN : Kutipan Zakat RM93 Juta Sehingga Oktober 2014

Written by adminukom Ditulis pada .

Sejak Januari hingga Oktober 2014, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) mengutip bayaran zakat berjumlah RM93,536,568.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains Teknologi dan Tugas-tugas Khas Negeri, Ghazali Taib berkata, kutipan zakat serta agihan tersebut dibuat mengikut pecahan yang telah ditetapkan.

“Zakat pendapatan sebanyak RM38,291,443, zakat perniagaan RM25,058,396, zakat wang simpanan RM17,635,083, zakat fitrah RM5,977,365, zakat harta RM5,405,222, zakat emas perak RM659,154, zakat tanaman RM428,620 dan zakat ternakan RM81,281.

“Dari segi agihan, fakir miskin sejumlah RM23,394,807, miskin RM16,054,127, amil 9,711,596, mualaf RM2,786,130, riqab RM862,854.99, gharimin RM122,328, fisabilillah RM8,294,414 dan ibnussabil RM22,990 menjadikan kesuluruhan agihan berjumlah RM61,249,248,” ujarnya.

Beliau berkata ketika menjawab soalan Mohd Iskandar Jaafar (BN-Jabi) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri, hari ini.