Print

J3K Laksanakan Tanggungjawab Sebaik Mungkin -A.Latiff

Written by Amirullah Othman Ditulis pada .

Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (J3K) wujud apabila Barisan Nasional (BN)memerintah Terengganu dan Malaysia.

Hakikat itu perlu difahami oleh semua jawatankuasa J3K dan laksanakanlah tanggungjawab dengan sebaik mungkin, kata Ketua Bahagian UMNO Marang, A. Latiff Awang.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri berkata, jika pembangkang yang memerintah negeri ini, J3K tidak akan wujud dan balai raya yang memberi banyak manfaat kepada penduduk akan ditutup.

"Prestasi J3K di Marang haruslah dipertingkatkan dari masa ke semasa. Ini akan mempengaruhi untuk penyambungan perkhidmatan.

"Elaun bulanan untuk pengerusi sebanyak RM800 sebulan, setiausaha sebanyak RM500 sebulan, timbalan sebanyak RM 400 sebulan dan bendahari sebanyak RM600 setahun,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penyampaian watikah J3K Daerah Marang, di Dewan Majlis Daerah Marang, Kampung Paya, hari ini.

Seramai 103 J3K Daerah Marang mendapat anugerah watikah pelantikan jawatan di majlis itu.

Hadir sama, pegawai jabatan, pengerusi, timbalan, setiausaha dan bendahari J3K di Daerah Marang.

A. Latiff mengucapkan tahniah kepada J3K yang mendapat 5 bintang satu-satunya dari Daerah Marang iaitu J3K Medan Jaya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Marang, Zulkifli Abu Bakar mengucapkan terima kasih kepada J3K yang berkhidmat dengan baik dan mampu menyelesaikan masalah rakyat.

"Kepada J3K yang baru dilantik hendaklah menjalankan amanah dengan baik atas kepercayaan yang diberikan.

"Marilah kita sama-sama menyelesaikan permasalahan rakyat dan bersyukur atas pelantikan yang diberikan,"katanya.

Katanya, mesyuarat J3K hendaklah dibuat setiap bulan dan laporan dihantar ke Pejabat Daerah.

Selain itu, menurutnya setiap jawatankuasa J3K perlu ada wakil -wakil NGO seperti Rela, belia, majlis daerah dan KRT supaya fungsinya lebih mantap serta mampu memberi manfaat lebih menyeluruh kepada penduduk.