Print

KOMUNITI: Kain Rentang 'Sehati, Sejiwa' SKPJ Terpanjang Di Setiu

Written by Aminudin Ismail Ditulis pada .

Seramai 347 murid bersama 31 guru Sekolah Kebangsaan Putera Jaya (SKPJ) Setiu berjaya menyiapkan kain rentang 'Sehati, Sejiwa' sepanjang 27 meter, pagi semalam.

Guru Besarnya, Mohd Sabri Mohd Jaya berkata, kain rentang terpanjang di Daerah Setiu itu akan diletak di bangunan sekolah itu sepanjang sambutan bulan kebangsaan ini.

Katanya, idea untuk membuat kain rentang dari cop tangan setiap murid dan guru itu supaya murid-murid dan semua kakitangan serta ibu bapa SKPJ dapat menghayati erti tema sambutan pada tahun ini.

"Kain rentang sepanjang 27 meter itu adalah komitmen kita semua untuk menyiapkannya sebagai sokongan terhadap tema sambutan hari kebangsaan pada tahun ini.

"Alhamdulillah ianya dapat disiapkan dalam tempoh kira-kira satu jam setengah pagi ini," katanya.

Mohd Sabri berkata, dengan adanya kain rentang 'Sehati, Sejiwa' di sekolah itu, beliau mengharapkan setiap pelajar dapat menghayati erti sebenar tema itu dalam diri mereka dan dapat melahirkan semangat patriotisme.