Print

SEMASA : Sembilan Taska Permata Keluarga Ditutup 10 hari Akibat Wabak HFMD Sejak Mei Lalu

Written by Aida Abd Rahman Ditulis pada .

Sembilan Taska Permata Keluarga Yayasan Pembangunan Keluarga Negeri Terengganu (YPKT) dari seluruh daerah ditutup sementara, selepas merebaknya penyakit berjangkit tangan kaki dan mulut (HFMD), sejak Mei hingga kini.

Terbaru, 14 bayi berusia lapan bulan hingga 18 bulan dari Taska Permata Keluarga YPKT Batu Burok, Kuala Terengganu turut mendapat virus Cocxakie A dan B serta enterovitrus yang menyebabkan jangkitan wabak dan merupakan kes kesepuluh di Terengganu tahun ini.

Susulan kes itu, taska berkenaan diarahkan ditutup selama 10 hari sejak 21 Ogos lalu selepas seorang bayi mula dikesan mendapat jangkitan itu.

14 mangsa terbaharu itu termasuk 401 kes yang direkodkan sejak awal tahun sehingga kini, iaitu peningkatan 172.8 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohammad Omar, berkata trend peningkatan kes itu mulai Mei lalu dengan Setiu merekodkan 73 kes, Dungun dan Kuala Terengganu (70), Marang (60), Kuala Nerus (43) Hulu Terengganu (33) Besut (29) dan Kemaman (23).

“Trend yang mendadak sejak Mei dengan pertengahan bulan itu melebihi paras amaran kita. Penyakit yang berjangkit melalui sentuhan akibat terkena air liur dan cecair lepuhan ini tidak melibatkan kematian, tetapi boleh menyebab berlakunya komplikasi seperti radang otak, paru-paru bengkak dan radang jantung.

“Beberapa tahun lepas, wabak ini telah mengakibatkan pesakit mendapat komplikasi encephalitis, pulmonary edema dan myocarditis yang membawa kematian dan enterovirus 71 (EV71) pernah berlaku di Sarawak, jadi kita tidak mahu ianya berulang,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Taska Permata YPKT Batu Burok, Kuala Terengganu, hari ini.

  

Turut hadir, Timbalan Pengarah YPKT, Ramlah Idris.

Mohammad berkata, semua taska yang terlibat diarahkan tutup sementara selama 10 hari bagi memastikan premis bebas daripada gejala serta semua guru taska membersihkan persekitaran yang melibatkan premis, kelengkapan dan peralatan bayi dengan baik.

Tambahnya, ibu bapa juga dinasihatkan supaya membawa anak mereka yang dikesan mendapat gejala jangkitan penyakit itu seperti demam dan ruam melepuh pada tapak tangan, kaki, mulut dan lidah segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan dan rawatan.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan supaya guru dan ibu bapa meningkatkan amalan kebersihan dengan mencuci tangan menggunakan sabun serta air bersih, setiap kali selepas ke tandas, menukar lampin, mencuci najis dan selepas menyentuh pesakit.

Beliau juga meminta ibu bapa yang mendapati anak-anak mempunyai simptom penyakit itu supaya tidak membawa kanak-kanak ke taska bagi mengelak jangkitan kepada kanak-kanak lain di premis yang sama.

Sementara itu, Ramlah berkata, pihaknya akan menjalankan saringan dan pemeriksaan kesihatan yang ketat terhadap bayi serta kanak-kanak di semua taska YPKT sebanyak tiga kali sehari bagi mengesan penyakit itu.

"Kita juga memastikan persekitaran terjaga dan bersih bagi menghindari wabak ini terus berleluasa sebagaimana saranan dan mengikut panduan yang betul diberikan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu,"katanya